Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan penurunan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2025 kepada 6.15 peratus sedang negara dikatakan mencatatkan prestasi ekonomi yang lebih kukuh berbanding tahun sebelum.
Menurut beliau, pencarum KWSP menyuarakan kekecewaan apabila kadar dividen 2025 lebih rendah berbanding 6.3 peratus pada 2024 walaupun beberapa petunjuk ekonomi utama dikatakan menunjukkan peningkatan.
“Rakyat Malaysia menjangkakan kadar dividen 2025 lebih tinggi, bukannya lebih rendah daripada kadar 6.3 peratus pada 2024 memandangkan prestasi ekonomi 2025 yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Guan Eng berkata, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn menyatakan faktor utama penyusutan kadar dividen tersebut kerana pertumbuhan KLCI yang lebih perlahan iaitu 2.3 peratus berbanding sekitar 12.9 peratua pada 2024 yang menjejaskan pulangan pelaburan ekuiti KWSP.
Kata beliau, faktor kedua kerana pengukuhan ringgit sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar AS telah menyebabkan nilai aset antarabangsa KWSP yang didenominasikan dalam mata wang itu merosot dari segi ringgit.
Justeru, kata Guan Eng, kebimbangan adalah wujud pertumbuhan ekonomi berbentuk K atau ekonomi dua darjat iatu manfaat pertumbuhan hanya dinikmati kelompok 10 peratus teratas, manakala majoriti rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup.
“Jika ekonomi dua darjat boleh menjejaskan kadar dividen KWSP walaupun pertumbuhan ekonomi kukuh, sejauh manakah lebih buruk kesannya terhadap 90 peratus rakyat biasa dan PMKS?” soal beliau. – MYNEWSHUB


