Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Iran, disusuli tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) membawa Timur Tengah ke ambang bencana besar.
Menurut beliau, tindakan Israel itu adalah cubaan menjatuhkan rundingan sedia ada serta melibatkan negara lain dalam konflik yang sukar dikawal.
“Penghentian segera dan tanpa syarat terhadap permusuhan adalah wajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menyeru AS dan Iran memilih jalan diplomasi berbanding eskalasi konflik, sambil menyeru komuniti antarabangsa bertindak dengan segera dan tanpa bersikap berat sebelah.
Selain itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran dan negara-negara lain di rantau berkenaan, dan berkata beliau akan berhubung dengan rakan serantau untuk langkah seterusnya. – MYNEWSHUB


