Oleh Mynewshub
SELAYANG – Lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan berhimpun bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu penguatkuasaan rumah ibadat haram di Selayang, namun mendakwa berdepan layanan mengecewakan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Menurut aktivis masyarakat Firdaus Wong, pihak MPS didakwa meletakkan trak penunda bagi menghalang laluan masuk serta menutup pagar utama premis, dengan puluhan anggota penguat kuasa ditempatkan sebagai benteng di hadapan pagar.

Katanya, Yang Dipertua (YDP) MPS yang telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran kumpulan itu tidak hadir untuk menerima memorandum dengan alasan mempunyai program lain.
“Beberapa pegawai dihubungi melalui telefon namun tiada sebarang jawapan walaupun dihubungi berkali-kali. Ini menimbulkan persoalan, adakah program lain lebih penting daripada agenda rakyat?” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Firdaus turut mengkritik sikap wakil rakyat Selayang yang didakwa menyantuni pihak yang disifatkan sebagai penceroboh dan pembina kuil haram, sedangkan tindakan penguatkuasaan ke atas rumah ibadat haram masih dipersoalkan.
Beliau menegaskan memorandum tersebut bertujuan mendesak MPS melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan tegas terhadap rumah ibadat haram di kawasan Selayang.
Dalam perkembangan berkaitan, layanan berbeza pula diterima ketika kumpulan sama menghantar memorandum ke IPD Gombak.

“Sepanjang perjalanan, anggota polis ditempatkan bagi mengawal lalu lintas, pintu pagar dibuka dan tempat parkir disediakan. Malah, OCPD Gombak sendiri turun menerima memorandum. Sangat profesional,” katanya.
Memorandum tersebut antara lain menggesa polis mengambil tindakan terhadap penceroboh tanah, penghasut serta individu yang melindungi aktiviti pencerobohan.
Firdaus turut memaklumkan bahawa pihak polis telah mengesahkan kertas siasatan berkaitan individu bernama Arun Dorasamy telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan gerakan ini akan diteruskan dengan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab.
“Kami bangkit sebagai rakyat bersatu tanpa mengira bangsa dan agama, demi kedaulatan undang-undang. Ini gerakan rakyat untuk rakyat, bukan politik,” tegasnya. -MYNEWSHUB


