Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara di ibu negara.
Ia berikutan insiden pecah kenderaan melibatkan kereta Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok di kawasan tersebut baru-baru ini.
“DBKL mengambil maklum hantaran YB Teresa Kok berhubung kejadian pecah kenderaan di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara serta cadangan pemasangan CCTV di lokasi berkenaan.
“Sehubungan itu, kerja pemasangan CCTV akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap pada awal bulan Mac 2026,” kata DBKL dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
BACA LAPORAN ASAL MYNEWSHUB DI https://www.mynewshub.tv/2026/02/kereta-teresa-kok-kena-pecah-wang-tunai-rm2000-lesap/
Menurut hantaran tersebut, DBKL memandang serius insiden berkenaan dan kebimbangan yang disuarakan orang awam.
Kata DBKL, keselamatan warga kota serta pengunjung taman sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan persekitaran awam yang selamat dan kondusif.
“DBKL kekal komited untuk memastikan Kuala Lumpur terus menjadi bandar yang selamat, sejahtera dan selesa untuk semua,” kata DBKL.
Sementara itu, Teresa Kok menyifatkan pengumuman tersebut sebagai berita baik untuk semua pengunjung yang bersenam di Taman Persekutuan Bukit Kiara.
“Terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan penjawat kanan di DBKL atas respons pantas terhadap aduan daripada saya dan ramai yang bersenam di Bukit Kiara,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber FB: Teresa Kok

