Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Aktivis Sosial, Tamim Dahri, mendakwa menerima Letter of Demand (LOD) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penulisan surat terbuka yang ditujukannya kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini.
Menerusi satu hantaran panjang di media sosial, Tamim mempersoalkan locus standi SKMM untuk mengambil tindakan sivil terhadapnya, sedangkan menurut beliau, SKMM merupakan badan berkuasa yang lazimnya bertindak melalui siasatan dan pendakwaan undang-undang, bukan tindakan sivil.


“Yang aku tak faham, apakah locus SKMM untuk mengadakan tindakan sivil ke atas aku. Rasa kelakar pula,” katanya.
Tambah Tamim, rakan-rakan peguamnya juga ketawa dengan tindakan SKMM itu.
Beliau turut mempersoalkan penggunaan khidmat peguam swasta bagi mengeluarkan LOD, selain mempertikai sama ada langkah itu melibatkan perbelanjaan wang rakyat.
Hantaran Disekat Di Malaysia
Dalam masa sama, Tamim memaklumkan satu hantaran beliau di platform Facebook didakwa telah disekat di Malaysia atas permintaan undang-undang daripada SKMM.
Paparan notis yang dikongsikan menunjukkan mesej: “Your post is unavailable in Malaysia… Because of a legal request from MCMC, we have to restrict access to your post.”
Imbas Kes Lama & Dakwaan Intimidasi
Aktivis berkenaan turut mengungkit insiden tahun lalu apabila beliau ditahan selama tiga hari sebelum Aidilfitri, namun sehingga kini didakwa masih belum didakwa di mahkamah. Dua unit telefon bimbitnya juga, menurut beliau, belum dipulangkan.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan tersebut merupakan satu bentuk intimidasi untuk membungkam pandangan yang disuarakan.
Isu Teguran, Agama & Perlembagaan
Dalam kenyataannya, Tamim menegaskan bahawa surat terbuka tersebut hanyalah berbentuk teguran dan nasihat, bukan penghinaan, serta mempersoalkan sama ada tindakannya bercanggah dengan Islam atau Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga menyentuh isu sensitif berkaitan pembinaan rumah ibadat di atas tanah persendirian dan mendakwa isu tersebut sering dipolitikkan melalui naratif 3R.
Seruan Kepada Pegawai Muslim
Mengakhiri kenyataannya, Tamim menyeru pegawai SKMM yang beragama Islam agar menilai tindakan tersebut dari sudut iman dan keadilan.
“Tanyalah iman, adakah tindakan ini menyebabkan Allah reda?” katanya, sambil mengakhiri dengan doa agar semua pihak diampunkan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak SKMM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
Mynewshub sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan.


