Oleh Mynewshub
KULAI – Dua rumah ibadat masyarakat India di Parlimen Kulai iaitu Kuil Dewi Sri Vada Bathra Kaliamman dan Sri Maha Mariamman Kovil menerima surat kelulusan tapak tanah dalam satu majlis rasmi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, beliau telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Tapak Tanah bagi dua kuil berkenaan.
Menurut beliau, kedua-dua kuil tersebut mengemukakan permohonan sejak 17 tahun lalu selepas pihak pemaju menyediakan tapak baharu sebagai penggantian kepada tapak kuil lama.
“Kelulusan yang disampaikan pada hari ini amat bermakna dan merupakan satu penantian yang panjang buat pihak pengurusan kuil serta komuniti setempat,” katanya.
Beliau menambah, dengan kelulusan tersebut, kedua-dua kuil kini boleh memulakan proses pembinaan secara lebih teratur setelah memperoleh kelulusan daripada agensi-agensi berkaitan.
“Saya percaya dengan kelulusan ini, kedua-dua pihak kuil dapat memulakan proses pembinaan dengan lebih teratur. Ia juga bakal memberikan keselesaan dan jaminan kepada masyarakat India setempat untuk menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih teratur, selamat dan tanpa sebarang gangguan,” ujarnya.
Raven Kumar turut berharap usaha tersebut menjadi titik permulaan kepada pembangunan rumah ibadat yang lebih sempurna, sekali gus memperkukuhkan keharmonian serta perpaduan masyarakat di Parlimen Kulai. – MYNEWSHUB


