Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkongsi detik kebersamaan bersama seorang sami Hindu dikenali sebagai Sai dan Cikgu Chandra ketika menyertai program gotong-royong membersihkan tapak kuil yang dibina tanpa kebenaran semalam.
Menurut Firdaus, pertemuan dengan Sai bermula dalam suasana santai apabila sami berkenaan meminta untuk berswafoto bersamanya.
“Bro, can I take picture with you?” tanya Sai dengan sopan sebelum mereka berdua ketawa dan bergambar bersama.
Firdaus menjelaskan, Sai merupakan seorang sami Hindu yang mendalami agama itu sehingga ke India.
Ketika ditanya wartawan mengenai kehadirannya dalam program tersebut, Sai menegaskan isu berkenaan bukanlah isu agama, sebaliknya berkaitan undang-undang.
“Ini bukan isu agama tetapi isu undang-undang. Dalam agama Hindu tidak membenarkan kita membina sesuka hati. Di negara India yang majoriti Hindu sekalipun, kerajaan merobohkan kuil yang dibina tanpa kebenaran. Kalau nak bina kuil, beli tanah dan bina. Tuhan Hindu pun marah kalau ceroboh dan bina secara haram,” katanya seperti dipetik Firdaus.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata sejak awal beliau dan rakan-rakan menegaskan perkara tersebut perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang, bukan dipolemikkan sebagai isu perkauman atau agama.
“Sai turut bersama kami berbuka puasa di surau dan sebelum berpisah dia menunjukkan mesej kritikan yang diterimanya. Saya berikan kata semangat kepadanya supaya terus berpegang kepada prinsip yang diyakini benar,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai agar memberikan sokongan moral kepada Sai dan Cikgu Chandra yang menurutnya berdepan kecaman kerana pendirian mereka.
Dalam perkongsian itu, Firdaus menegaskan bahawa perpaduan antara kaum dapat diperkukuh menerusi sikap saling menghormati serta mendaulatkan undang-undang.
“Malaysia aman tanpa penghasut yang menyokong penceroboh yang melanggar undang-undang,” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber FB: Firdaus Wong Wai Hung


