Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Yayasan Kubra menegaskan akan melaksanakan tindakan pembersihan binaan haram di atas tanah milik berdaftarnya di Rawang Perdana selepas tamat tempoh yang diberikan sehingga pukul 11.59 malam ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Yayasan Kubra menegaskan pihaknya berhak melindungi tanah hak milik yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang daripada pencerobohan berterusan.
Menurut kenyataan itu, yayasan berkenaan sebelum ini telah mengadakan pertemuan dua hala bersama IPD Gombak dengan kehadiran pihak penceroboh, di mana persetujuan dicapai untuk memberi tempoh 14 hari bermula 11 Februari hingga 24 Februari 2026 bagi mengosongkan binaan haram di tapak berkenaan.
“Tempoh tersebut diberikan atas dasar ihsan, walaupun pada asalnya hanya tujuh hari diperuntukkan, selepas mengambil kira kerjasama yang diberikan kepada pihak polis.
“Yayasan Kubra bagaimanapun melahirkan rasa dukacita apabila mendakwa pihak penceroboh memainkan naratif kononnya mereka diugut dan dipaksa keluar oleh pihak berkuasa, sedangkan persetujuan telah dicapai bersama,” kata kenyataan itu hari ini.
Yayasan Kubra berkata, persetujuan itu malah turut disahkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, menerusi satu hantaran di Facebook bertarikh 11 Februari 2026.
Sehubungan itu, Yayasan Kubra memaklumkan, sebarang tindakan pembersihan akan diteruskan tanpa notis lanjut selepas tempoh berakhir dan segala kos yang terlibat akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penceroboh.
Yayasan Kubra turut menjemput mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu untuk menyertai gotong-royong di tapak berkenaan pada 25 Februari 2026 pukul 5 petang di Lot PT 19501, PT 19502 dan PT 19503, Mukim Rawang, Daerah Gombak.
Menurut yayasan itu, tanah berkenaan dirancang untuk pembangunan rumah asnaf, namun usaha tersebut didakwa terhalang akibat pencerobohan yang berlarutan sejak 2018. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Firdaus Wong Wai Hung


