Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan isu mafia korporat perlu ditangani secara tegas, menyeluruh dan telus, namun pelaksanaannya mestilah bersasar serta profesional.
Menurut beliau, sebarang unsur rasuah, jenayah terancang, penipuan dan pengubahan wang haram tidak boleh dikompromi dan perlu diambil tindakan dibawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Bagaimanapun, katanya, reformasi dalam pelaksanaan AMLA perlu juga dilakukan demi menjaga integriti pasaran modal, kepentingan ekonomi negara dan kebaikan rakyat.
Beliau memberi contoh tindakan pembekuan akaun bank melibatkan beberapa syarikat senaraian awam sebelum ini yang menyaksikan akaun operasi syarikat dan subsidiarinya dibekukan.
Kata beliau, tindakan itu menjejaskan pembayaran gaji dan pembekal serta menyebabkan harga saham syarikat terbabit merundum, tetapi siasatan ditamatkan tanpa pertuduhan.
“Saya faham mengapa kuasa di bawah AMLA sangat penting. Ia alat penguatkuasaan yang perlu untuk memutuskan rangkaian jenayah, membekukan hasil haram dan menghalang pelaku larikan diri dengan wang kotor.
“Tetapi, pada waktu yang sama, kita juga perlu berwaspada terhadap satu alat penguatkuasaan yang sangat kuat di bawah AMLA iaitu tindakan pembekuan akaun bank PLC yang seringkali terlebih dos tindakan penguatkuasaannya.
“PLC bukan milik peribadi pengarah semata-mata, sebaliknya milik awam dan rakyat. Jangan kerana seekor dua nyamuk, kelambu ekonomi rakyat dibakar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari Ini.
Ka Siong menerangkan, gangguan pembekuan akaun bank seperti itu terhadap PLC yang tidak bersalah yang merupakan milik awam dan rakyat tidak sepatutnya berlaku tanpa asas yang kukuh.
Kata beliau, apabila akaun dibekukan secara total tanpa semak dan imbang yang telus, kesan perlu ditanggung syarikat termasuk operasi perniagaan terbantut amat berat.
“Keyakinan pelabur hilang dan harga saham merudum dan yang selanjutnya, pelabur runcit rugi besar walaupun mereka tidak berdosa tidak bersalah.
“Jadi, saya berpandangan bahawa siasatan mesti diteruskan secara telus, tetapi biarlah ia bersifat bersasar dan professional,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber FB: Wee Ka Siong


