Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu membuat aduan segera kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mendapati terdapat kerja-kerja membina rumah ibadat tanpa kelulusan.
Aktivis masyarakat yang juga Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusof Azmi menegaskan, langkah itu bagi mengelak isu berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan.
“Jadi senang saja. Kalau tanya pada saya, bila ada rumah ibadat yang naik tanpa ada kelulusan, tanpa memiliki geran, tak payah tunggu 10 tahun, lima tahun. Segera buat aduan kepada PBT.
“Bila bangunan itu didirikan lebih lima tahun tanpa tuntutan daripada mana-mana pihak, ia jadi masalah. Bila nak roboh, akan timbul tuntutan pampasan dan sebagainya,” katanya di media sosial.
Yusuf berkata, orang ramai boleh membuat aduan melalui panggilan telefon atau emel sekiranya tidak mahu identiti didedahkan.
“Kau tangkap gambar, hantar emel. Kalau tak pandai emel, kau call. Banyak cara. Portal PBT pun ada,” jelasnya.
Menurut beliau, langkah itu juga mmbantu PBT yang berdepan kekangan tertentu termasuk kekurangan kakitangan dan bebanan tugas yang tinggi.
“Kadangkala PBT pun tak tahu. Dia kena buat dua perkara, buat ‘research’ dan terima aduan. Tapi pegawai tak ramai, nak jaga kawasan penduduk sampai ratusan ribu orang.
“Memang dia (PBT) tak nampak lah kalau buat rumah ibadat kat belakang lorong, dekat dalam hutan. Tahu-tahu dah naik bangunan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat memainkan peranan dengan membuat aduan segera sekiranya mengesan pembinaan rumah ibadat yang meragukan.
Menurutnya, keadaan itu jika dibubarkan terlalu lama akhirnya menyebabkan pihak berkuasa dipersalahkan dan berisiko mencetuskan sentimen perkauman.
“Siapa yang akan dipersalahkan? Pasti pihak berwajib. Lepas itu sentimen perkauman pun berlaku. Itu yang kita tak nak,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan tindakan harus difokuskan kepada individu yang mendirikan binaan tersebut, bukan kepada mana-mana kaum.
“Jangan ambil tindakan (menyalahkan) kaum Cina, India atau Melayu. Tak guna. Yang dirikan tu siapa? Siasat dia. Tanya atas persetujuan siapa dia buat,” katanya.
Baca : https://www.mynewshub.tv/2026/02/yusuf-azmi-jangan-samakan-isu-kuil-haram-dengan-penjaja-jalanan/
Beliau namun berpandangan sekiranya aduan telah lama dibuat dan perintah mahkamah telah diperoleh, tindakan perobohan tidak perlu ditangguhkan.
“Tak payah tunggu. Roboh je kalau dah ada perintah mahkamah. Kalau tidak, ia akan menyusahkan semua pihak dan akhirnya berlaku pemusuhan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan tentang pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran yang mungkin bertujuan untuk mengutip dana.
“Kutipan dana daripada ahli korporat, masyarakat setempat, daripada orang yang ramai, daripada macam-macam lah boleh dapat” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Yusuf Azmi


