Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Yusuf Azmi menegaskan isu pembinaan rumah ibadat di atas tanah bukan milik sendiri tidak boleh disamakan dengan penjaja kecil berniaga di tepi jalan.
Menurut beliau, terdapat perbezaan besar antara toleransi yang diberikan kepada penjaja sementara dan tindakan membina struktur kekal tanpa hak milik yang sah.
Beliau yang juga Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) menjelaskan, penjaja kecil biasanya sedar status mereka hanyalah sementara dan tidak membina struktur kekal.
Justeru, katanya, apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan, ia diterima sebagai sebahagian daripada proses penguatkuasaan
“Gerai tepi jalan kita (penjaja) naikkan payung, tapi kita tak pacak batu, tak tanam batu. Kenapa? Sebab kita tahu itu bukan tempat kita.
“Majlis (PBT) datang, ada kelonggaran. Kadangkala enam bulan sekali angkut, tiga bulan sekali saman. Itu toleransi. Kita faham kita tumpang,” katanya di media sosial.
Bagaimanapun, Yusuf mempersoalkan tindakan pihak yang membina bangunan kekal, mewujudkan pejabat dan mengurus tabung di lokasi yang bukan milik mereka, kemudian membantah tindakan penguat kuasa.
“Bila bandar raya (PBT) datang, suruh pula ambil perintah mahkamah. Lawan kes, tunggu bicara, panggil bailif. Bila bailif datang, bawa pula isu perkauman. Kenapa nak bawa isu macam ini? Ini tak betul,” tegasnya.
Yusuf berkata, tindakan sedemikian hanya mengeruhkan keadaan dan mencetuskan ketegangan antara kaum, khususnya apabila isu tersebut dimainkan di media sosial.
“Yang bekerja sebagai penjawat awam kebanyakannya orang Melayu dan Islam. Lepas itu masyarakat yang tekan isu ini pun ramai Melayu dan Islam. Nampak tak gelombang perkauman itu? Berlaku pergaduhan, pemusuhan di media sosial. Tinggal tak bertumbuk sahaja lagi,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar tidak membiarkan isu berkenaan berlarutan sehingga mencetuskan konflik yang lebih besar.
“Jangan buat perkara yang tak bermanfaat kepada masyarakat. Jangan sampai jadi pergaduhan,” katanya.
Dalam masa sama, Yusuf menegaskan beliau menghormati semua rumah ibadat termasuk masjid, surau, kuil dan tokong, namun menekankan keperluan mematuhi undang-undang serta hak milik tanah.
“Nak bina rumah ibadat, saya hormat. Tapi kenapa bina di tempat bukan milik sendiri? Geran bukan milik kamu, bukan penyewa pun. Itu yang jadi persoalan,” katanya lagi.
Beliau berharap semua pihak dapat menangani isu berkenaan secara berhemah dan berlandaskan undang-undang demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk negara ini. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Yusuf Azmi


