Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Sebuah video tular memaparkan patung ‘Datuk Kong’ dipindahkan dari satu lokasi menarik perhatian ramai netizen yang rata-rata memuji tindakan pemilik kerana mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT)
Difahamkan, struktur tersebut sebelum ini diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan. Selepas diminta oleh PBT, pemilik tanpa banyak soal terus mengambil langkah memindahkannya ke tempat lain yang lebih sesuai.
Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi, kebanyakannya positif. Ramai melihatnya sebagai contoh baik bagaimana isu sensitif boleh diselesaikan secara matang dan mengikut undang-undang.
Seorang pengguna, Bulanagama, menulis: “Ini baru betul penganut yang faham agama masing-masing. Mana ada agama membenarkan rumah ibadat dibina di tanah orang lain”
Nada teguran pula disuarakan Shahrani Md Ideris: “Tidak ada orang marah untuk sembahyang, tetapi sembahyang di tempat yang betul. Bila dibuat di atas tanah orang, maknanya orang itu tidak berfikir. Lepas itu mahu minta ganti rugi pula”
Terdapat juga suara netizen yang melihatnya sebagai lambang perpaduan.
Frank Law berkongsi pandangan: “Datuk Kong adalah pelindung kepada orang Cina. Kita beri penghormatan. Orang lain mungkin menghadapi kesukaran bersama Datuk Kong, jadi kita buat yang terbaik untuk membantu Datuk Kong mengikut kemampuan kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”
Tidak kurang juga yang berseloroh seperti Kok Yip Weng yang meninggalkan komen ringkas tetapi mencuit hati: “Terima kasih kerana menjaga Datuk Kong, nanti Datuk Kong akan beri nombor ya.”
Aaron TG pula berkongsi pengalaman peribadi: “Sama juga di tempat saya. Satu kampung orang pun tidak mahu membawa Datuk balik atau memindahkannya, hanya bapa saya sahaja yang bawa balik ke rumah sembahyang”
Seorang lagi pengguna, Casey, tampil dengan mesej: “Terima kasih sahabat Satu Malaysia. Saya hormat anda, saya tabik sama anda. Terima kasih sahabat Satu Malaysia”
Walaupun pandangan dan gaya bahasa berbeza, majoriti netizen sepakat dalam satu perkara: soal rumah ibadat dan kepercayaan perlu diurus dengan tertib serta mematuhi peraturan.
Datuk Kong adalah gelaran tempatan bagi satu bentuk kepercayaan dalam masyarakat Cina Malaysia yang merujuk kepada roh penjaga atau dewa pelindung sesuatu kawasan.
Secara ringkas, Datuk Kong dipercayai sebagai penjaga kawasan, melindungi tempat tinggal, kebun, tapak perniagaan atau kawasan tertentu serta dipercayai pembawa tuah dan rezeki. – Mynewshub
Sumber FB: Loon Wind Mortorsport


