Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini pernah memaklumkan tiada lesen diperlukan untuk badan bukan kerajaan (NGO) itu memasang reruai di Jalan Bukit Bintang bagi menjalankan aktiviti dakwah.
Pengerusinya, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, beliau menerima jawapan tersebut ketika hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung berhubung perkara itu.
“Tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan. Aktiviti dijalankan di ruang awam dan bukan di dalam premis perniagaan.
“Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah kami disita,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Muhammad Azim berkata, sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya.
Mengulas isu reruai Street Dakwah didakwa menghalang laluan awam, beliau berkata, lokasi yang digunakan adalah kawasan yang sama digunakan oleh kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti mereka tamat.
Kata beliau, jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak.
“MRM tidak memohon layanan istimewa. MRM hanya memohon konsistensi dalam penguatkuasaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, MRM meminta DBKL memberi penjelasan lanjut terhadap percanggahan fakta agar isu itu tidak terus disalah tafsir oleh masyarakat.
Ujar beliau, MRM komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa demi memastikan aktiviti dijalankan secara tertib dan mematuhi garis panduan.
“MRM juga menyambut baik kenyataan pihak DBKL yang menjelaskan bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang,” katanya. – MYNEWSHUB


