KUALA LUMPUR – Aktiviti Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di kawasan Bukit Bintang mencetuskan perhatian ramai selepas operasi penutupan dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari cuti Tahun Baharu Cina.
Aktivis dakwah, Firdaus Wong, dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 12 pegawai DBKL telah dihantar ke lokasi bagi menutup serta merampas reruai Street Dakwah MRM, walaupun hanya seorang sukarelawan MRM bertugas pada ketika itu.
Menurut beliau, aktiviti Street Dakwah tersebut telah dijalankan selama kira-kira 14 tahun di lokasi sama tanpa sebarang gangguan serius, malah sebelum ini sering dilalui oleh pihak polis dan DBKL tanpa sebarang tindakan diambil.
“MRM sebelum ini pernah bertanya sama ada permit atau lesen diperlukan, dan dimaklumkan tiada keperluan kerana aktiviti tersebut tidak melibatkan jualan serta tidak mengganggu lalu lintas,” kata Firdaus dalam akaun media sosialnya.
Firdaus turut mendakwa bahawa pada Ahad lalu, MRM mengadakan Street Dakwah di lokasi sama dan hanya diminta untuk mendapatkan permit DBKL, tanpa sebarang gangguan atau rampasan dibuat.
Bagaimanapun, dalam operasi terbaharu itu, sukarelawan memaklumkan bahawa hanya reruai serta bahan dakwah MRM dirampas, sedangkan aktiviti lain di sekitar kawasan kaki lima yang melibatkan jualan dan peletakan barangan dilihat masih berjalan.
Tambah beliau, tiada sebarang saman dikeluarkan terhadap sukarelawan MRM dan organisasi itu menegaskan kesediaan untuk mematuhi undang-undang, termasuk membayar saman atau memohon permit sekiranya diperlukan.
“Kami patuh undang-undang. Jika perlu saman, kami akan bayar. Jika perlu permit, kami akan mohon,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Firdaus turut memaklumkan terdapat individu berpakaian bertulis ‘Security’ datang meminta permit, selain dakwaan seorang individu bernama Imran yang menyatakan DBKL telah memberikan hak kepada pihak tertentu untuk menguruskan kawasan berkenaan dan merancang menyewakannya kepada pihak lain.
Bagaimanapun, Firdaus mengakui tidak pasti kesahihan dakwaan tersebut dan menyatakan kekeliruan sama ada DBKL lazimnya memberikan kuasa kepada pihak ketiga untuk mengurus kawasan pejalan kaki seperti di Bukit Bintang.
Beliau menegaskan tidak percaya tindakan DBKL itu dibuat atas dasar dendam berhubung kelantangannya sebelum ini dalam isu kuil haram, sebaliknya menyifatkan DBKL sebagai sebuah institusi profesional.
“DBKL sangat profesional. Kecekapan DBKL terbukti,” katanya.
Setakat ini, pihak DBKL belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.



