Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR, 11 Feb 2026 – Isu pembinaan rumah ibadat tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara berbilang kaum.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap isu berkaitan agama hendaklah ditangani secara berhemah dan berlandaskan undang-undang demi kepentingan bersama.
Menurut Seri Paduka Baginda, Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama,” titah di akuan media sosial rasmi Baginda, di sini hari ini.
Isu Kuil Perlu Ikut Saluran Undang-Undang
Baginda menegaskan, isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Sultan Ibrahim turut mengimbas pengalaman Baginda pada Januari 2018 ketika bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam,” titah Baginda.
Prinsip Saling Menghormati
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
Pada masa sama, penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam.
Menurut Baginda, pendekatan saling menghormati penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan budaya.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian dan semangat muhibah,” titah Baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang di Istana Negara hari ini.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keselamatan negara. –MYNEWSHUB


