PUTRAJAYA – Jenazah Allahyarhamah Nadiah Kasumawati, warganegara Malaysia yang meninggal dunia pada 15 Januari lalu, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah, Arab Saudi pada jam 7.35 pagi waktu tempatan, pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan menerusi siaran akhbar Wisma Putra yang mengemas kini status warganegara Malaysia di Jeddah.
Menurut kenyataan tersebut, proses pengebumian Allahyarhamah disempurnakan dengan kehadiran suami dan anak perempuan arwah.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah turut memaklumkan pihaknya telah bekerjasama rapat dengan waris terdekat serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan dan menyelaras segala urusan berkaitan pengurusan jenazah dan pengebumian.
KLN juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Kerajaan Arab Saudi, Hospital King Fahd serta agensi-agensi berkaitan, atas bantuan yang diberikan sepanjang urusan tersebut.— Mynewshub


