Lori Tipper Terhuyung-Hayang Undang Bahaya Di Kota Tinggi
KOTA TINGGI – Tindakan seorang pemandu lori tipper yang didakwa memandu secara tidak stabil sehingga beberapa kali memasuki laluan bertentangan di Jalan Perani, Kota Tinggi, mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Rakaman video berdurasi kira-kira satu minit 48 saat yang tular di media sosial memaparkan lori berat itu dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang, memaksa kenderaan dari arah bertentangan mengelak ke tepi jalan bagi mengelakkan kemalangan.
Orang ramai mendakwa pemandu lori berkenaan dipercayai mengantuk dan mengingatkan pemandu kenderaan berat supaya berhenti berehat sekiranya tidak cergas demi keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman memaklumkan pihak polis sedang menjalankan siasatan serta mengesan pemilik dan pemandu lori terbabit.
Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.


