Kejadian tragis di Jalan Ipoh–Lumut baru-baru ini, apabila sebuah lori memberikan isyarat membelok ke kanan tetapi tiba-tiba membelok ke kiri, mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal, sekali lagi membuka luka lama mengenai isu keselamatan jalan raya di negara ini.
Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan insan tersayang — bukan kerana takdir semata-mata, tetapi kerana kecuaian manusia.
Kita sudah terlalu biasa mendengar alasan “tidak perasan”, “tertekan masa”, “tersalah tengok cermin sisi” atau “tak sengaja”.
Namun, setiap kecuaian pemandu kenderaan berat, terutama yang mengakibatkan kehilangan nyawa, tidak boleh lagi dianggap sebagai kesalahan ringan.
Setiap tahun, Malaysia mencatat ribuan kematian dalam kemalangan jalan raya, dengan penunggang motosikal menjadi penyumbang terbesar.
Namun, undang-undang sedia ada sering hanya mengenakan denda, lesen digantung sementara, atau hukuman ringan — walaupun nyawa melayang akibat kecuaian jelas.
Tindakan seperti memberi isyarat ke kanan tetapi membelok ke kiri bukan sekadar “kesilapan kecil”; ia cuai, berbahaya, dan boleh dikategorikan sebagai ketidakpatuhan serius terhadap undang-undang jalan raya.
Namun realitinya, banyak pemandu masih terlepas dengan hukuman yang tidak setimpal.
Kini sudah tiba masa kerajaan mengambil langkah lebih agresif dan berani.
Tiada lagi denda kecil atau hukuman ringan. Kesalahan sebegini harus diklasifikasi sebagai kesalahan jenayah berat, dengan hukuman penjara mandatori yang lebih panjang.
Jangan diberi muka pemandu-pemandu tak guna pembunuh di jalanan.


