ALOR SETAR: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) menyelaraskan seragam sekolah dilihat dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa terutama golongan B40 dan M40.
Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan merangkap Pengerusi PIBKS Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihaknya menyambut baik hasrat KPM menyelaraskan pemakaian seragam sekolah di seluruh negara.
Katanya, asas pendidikan ialah kesaksamaan, kesederhanaan dan fokus kepada pembelajaran bukan perbezaan penampilan.
“Langkah terbabit juga penting bagi mengembalikan fungsi sekolah sebagai medan pembinaan sahsiah, ilmu dan nilai, bukan sebagai ruang pameran gaya atau status sosial.
“Bagaimanapun, PIBKS berpandangan pelaksanaan dasar itu perlu dibuat secara berperingkat, inklusif dan melalui libat urus yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Zainol Abidin berkata, pelaksanaan mesti mengambil kira pandangan PIBG sekolah, keperluan murid dari segi iklim, keselesaan dan kesihatan, serta realiti sosio-ekonomi setempat.
Katanya, ibu bapa tidak seharusnya dilihat sebagai pihak yang hanya menerima keputusan semata-mata, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam ekosistem pendidikan.
“Kita menyambut baik hasrat KPM untuk menyelaraskan pemakaian pakaian seragam sekolah di seluruh negara.
“PIBKS menegaskan bahawa ibu bapa adalah rakan strategik pendidikan, bukan sekadar penerima keputusan.
Sebarang dasar baharu wajar dilaksanakan melalui libat urus bermakna supaya tidak menambah tekanan kepada keluarga,” katanya.
Semalam media melaporkan, penyelarasan pakaian seragam sekolah masih berada di peringkat kajian dan tiada perubahan terhadap pakaian seragam murid bagi sesi persekolahan 2026.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, keputusan akhir berhubung perkara itu hanya akan dibuat selepas penelitian rapi semua aspek berkaitan untuk pelaksanaan pada sesi persekolahan 2027.
BHonline-


