KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial mendakwa adiknya berdepan pengalaman mencemaskan apabila pemandu perkhidmatan e-hailing dipercayai menggunakan telefon bimbit ketika memandu, selain bertindak agresif dengan menamatkan perjalanan sebelum tiba ke destinasi.

Menerusi perkongsian tular di platform X, wanita berkenaan menandakan akaun rasmi Grab Malaysia sambil memohon tindakan segera diambil terhadap pemandu terbabit.
Menurut dakwaan, pemandu tersebut bukan sahaja menamatkan perjalanan secara mengejut, malah bertindak merampas telefon penumpang sebelum menilai dirinya sendiri dengan 5 bintang, termasuk memilih kategori tambahan seperti “clean and comfy”, tanpa kebenaran.

“Dia meletakkan adik saya dalam keadaan berisiko. Tolong buat sesuatu,” tulis individu tersebut dalam hantaran berkenaan.
Tangkap layar yang dikongsi turut menunjukkan laporan aduan rasmi telah dihantar melalui Pusat Bantuan aplikasi berkenaan, lengkap dengan perincian kejadian.
Setakat ini, pihak Grab belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. Orang ramai menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan demi keselamatan penumpang, khususnya melibatkan dakwaan salah laku pemandu dan keselamatan wanita.


