KUALA LUMPUR: Anggota tentera yang cedera ketika latihan persembahan payung terjun di Melaka mengalami retakan hals pada tulang leher dan bukannya patah tulang rusuk seperti tular di media sosial.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, anggota berkenaan daripada Pusat Latihan Peperangan Khas (PULPAK) menerima rawatan di Hospital Melaka susulan kejadian di Encore, Melaka, pada Ahad lalu.
“Hasil pemeriksaan X-ray dan imbasan CT mengesahkan kecederaan pada bahagian leher.
“Bagi memastikan proses pemulihan yang optimum dan terkawal, anggota terbabit dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di PULPAK, Kem Sungai Udang, pada Selasa lalu,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, satu video berdurasi tujuh saat yang memaparkan kejadian membabitkan seorang koperal daripada PULPAK itu tular.
Mangsa menyertai demonstrasi terjun bebas yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Kumpulan Gerak Khas.
TDM berkata, mangsa yang cedera kini berada di bawah pemantauan rapi pegawai perubatan tentera dan sedang menerima rawatan susulan bagi kecederaan dialaminya.
“Tentera Darat juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak rasmi yang boleh menjejaskan privasi anggota berkenaan serta keluarganya,” katanya.
BHonline-


