JOHOR BAHRU – Pas Johor menegaskan pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor yang baharu susulan peletakan jawatan Datuk Dr Sahruddin Jamal adalah di bawah kuasa kepimpinan PN pusat sepenuhnya.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perkara itu selaras dengan perlembagaan PN yang menetapkan kuasa melantik pengerusi negeri terletak kepada pengerusi PN pusat.
“Kita tunggu keputusan PN pusat. Kuasa melantik pengerusi PN negeri-negeri ini terletak di bawah pengerusi PN pusat.
“Siituasi sama turut berlaku sebelum ini apabila Datuk Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi PN Johor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan pengerusi PN pusat,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam pada itu, Mahfodz menolak dakwaan pihak tertentu, khususnya Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa PN Johor kini berdepan kecelaruan dan kerapuhan dalaman.
“Bagi saya, tidak timbul isu bergolak. Hubungan kami sangat baik dengan Dr Sahruddin, begitu juga dengan Bersatu dan Gerakan Johor.
“Bulan lepas, mesyuarat PN Johor yang di Batu Pahat berjalan lancar. Mesyuarat itu turut disertai Dr Sahruddin,” katanya.
Sebelum itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad dilaporkan berkata, krisis kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju yang melanda PN di peringkat Pusat kini didakwa turut menular ke peringkat negeri, khususnya di Johor.
Faezuddin berkata, krisis berkenaaan terjadi susulan peletakan jawatan Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor yang mengikut langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
-Sinar Harian


