PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi memutuskan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menyebabkan prejudis terhadap bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah juga memutuskan keempat-empat pertuduhan berkenaan tidak kabur, tidak cacat atau bertindih di antara satu sama lain.
Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Tuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Najib berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Sehubungan itu, Sequerah berkata, mahkamah menolak hujahan pihak pembelaan bahawa tuduhan ke atas Najib adalah tidak jelas hingga menyebabkan tertuduh sukar untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan.
Sequerah turut mendapati, hujahan pembelaan bahawa dana yang diterima adalah derma politik, tidak dapat diterima oleh mahkamah kerana wang terbabit dipindah terus ke dalam akaun peribadi bekas Presiden UMNO itu.
Sequerah menyatakan demikian ketika membacakan dapatan mahkamah dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan.
Sequerah berkata, pembelaan tidak terjejas dalam perbicaraan kes itu kerana Najib diwakili pasukan peguam yang memahami sepenuhnya pertuduhan yang dihadapinya.
Katanya, ketika soal balas, Najib memahami pertuduhan salah guna kuasa yang dikenakan terhadapnya, selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hakim itu berkata, hujahan pembelaan bahawa empat pertuduhan itu bersifat gabungan turut ditolak oleh mahkamah.
Beliau menjelaskan, bahawa mahkamah perlu menilai semua bukti di akhir kes pembelaan mengikut Seksyen 182A(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan sama ada kes dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
BHonline-


