KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sudah menerima laporan kes rogol `suka sama suka’ membabitkan remaja perempuan bawah umur di negeri berkenaan untuk tindakan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud yang mengesahkan perkembangan itu berkata, jabatan berkenaan sedang melakukan siasatan susulan.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan kerana kes yang dirujuk masih dalam penelitian perundangan,” katanya.
Terdahulu, polis Kelantan memaklumkan remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol suka sama suka akan diambil tindakan oleh JAHEAIK bermula Oktober lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat dilaporkan berkata, bagi wanita yang bukan kategori bawah umur namun melakukan perbuatan amang seksual secara suka sama suka akan turut dirujuk kepada JAHEAIK.
Katanya, setakat ini lima kes rogol babit suka sama suka sudah dirujuk kepada JAHEAIK.
-Berita Harian


