MOSCOW: Sebuah mahkamah yang dikawal Russia di Donetsk, Ukraine, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang warga Britain kerana berperang sebagai tentera upahan untuk Ukraine.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan Russia, Mahkamah Agung di Donetsk mensabitkan Hayden Davies, yang ditawan pada 2024, atas kesalahan menyertai konflik bersenjata sebagai tentera upahan dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun di koloni penjara keselamatan maksimum.
Rakaman video yang dikeluarkan pendakwa raya menunjukkan Davies mendengar keputusan mahkamah dari dalam sangkar besi.
Melalui jurubahasa, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau memasuki Ukraine melalui Poland dan dibayar AS$500 (RM2,043.5) sebulan untuk bertempur.
Pendakwa raya berkata, Davies pergi ke Ukraine pada 2024, menerima latihan sebelum berperang menentang tentera Russia, namun ditangkap pada penghujung tahun itu.
Pendakwa raya berkata, umur Davies ialah 30 tahun, namun laporan media Britain mengenal pasti beliau sebagai lelaki berusia 31 tahun dari bandar Southampton di selatan England.
Sejak Russia menghantar tenteranya ke Ukraine pada Februari 2022, beberapa warga asing sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah yang diwujudkan Russia di wilayah timur Ukraine yang sebahagian atau keseluruhannya berada di bawah kawalan Moscow.
Pada awal Disember lalu, seorang warga Czech dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh sebuah mahkamah di Luhansk, manakala pada November, dua warga Colombia menerima hukuman sama di sebuah mahkamah di Donetsk.
-Berita Harian


