PETALING JAYA: Perubahan polisi Sunway Square Mall yang tidak lagi membenarkan haiwan peliharaan berada di dalam kawasan tertutup pusat beli-belah itu kini mengundang kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan pencinta haiwan, khususnya pemilik anjing.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pemilik haiwan peliharaan meluahkan rasa sedih dan tidak berpuas hati susulan keputusan tersebut, yang dianggap menafikan konsep pusat beli-belah mesra haiwan yang sebelum ini diperkenalkan.

Seorang pengguna Instagram yang memuat naik kenyataan rasmi pengurusan mall itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu langkah mengecewakan, memandangkan Sunway Square Mall sebelum ini membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk ke dalam premis dalaman dengan syarat tertentu seperti menggunakan stroller.
“Tempat ini sebelum ini menjadi ruang sosial untuk pemilik haiwan berjumpa, bersantai dan meluangkan masa bersama haiwan peliharaan mereka. Kini semuanya sudah tidak dibenarkan,” tulis pengguna terbabit sambil mempersoalkan sama ada keputusan itu masih boleh dirayu.
Bagaimanapun, sebelum ini polisi mesra haiwan yang diperkenalkan oleh pusat beli-belah berkenaan turut mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, termasuk umat Islam dan bukan Islam, yang menyuarakan kebimbangan terhadap aspek kebersihan, sensitiviti agama serta keselesaan pengunjung lain.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa haiwan peliharaan tidak dibenarkan berada di dalam pusat beli-belah tertutup, sekali gus mendorong Sunway Square Mall mengemas kini polisinya berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan rasmi pengurusan mall, haiwan peliharaan kini hanya dibenarkan berada di kawasan luar yang dikhaskan iaitu taman mesra haiwan Squarrel’s Playground di Sunway South Quay Lake, selain dibenarkan melalui laluan tertentu dari tempat letak kereta ke kawasan tersebut dengan bimbingan pasukan keselamatan.
Perubahan polisi ini menjadikan Sunway Square Mall berada di tengah-tengah perdebatan antara dua kelompok masyarakat — satu pihak yang menuntut kebersihan dan keselesaan awam, dan satu lagi yang memperjuangkan hak serta ruang mesra haiwan peliharaan. – MYNEWSHUB


