MELAKA: Sebuah syarikat tempatan, Tuah Tower Sdn Bhd, mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Melaka pembinaan sebuah resort mewah berkonsepkan vila atas air di persisiran pantai Crystal Bay, Selat Melaka, yang dijangka menjadi mercu tanda pelancongan baharu negeri bersejarah itu.
Cadangan pembangunan melibatkan 240 unit vila atas air berkenaan telah dikemukakan kepada pejabat Perbadanan Ketua Menteri Melaka baru-baru ini untuk pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Tuah Tower, Ricky Chong, berkata idea tersebut tercetus hasil pengalamannya menginap di vila atas air ketika kunjungan ke Maldives, yang terkenal dengan keindahan serta kemewahan resort berkonsepkan perairan.

Menurutnya, selepas menjalankan beberapa kajian pasaran dan lokasi, Melaka dikenal pasti sebagai destinasi paling sesuai memandangkan negeri itu masih belum memiliki produk pelancongan berkonsepkan vila atas air berskala besar.
“Buat masa ini, vila atas air hanya terdapat di Sepang, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami melihat Melaka mempunyai potensi besar untuk menawarkan pengalaman baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya baru-baru ini.
Ricky berkata Tuah Tower kini sedang bekerjasama dengan pembiaya projek dari Timur Tengah bagi merealisasikan pembangunan tersebut, tertakluk kepada kelulusan pihak Kerajaan Negeri Melaka.
“Sekiranya tiada halangan dan semua kelulusan dapat diperoleh, kami akan meneruskan langkah seterusnya untuk menjadikan projek ini satu realiti,” katanya.
Beliau memaklumkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek itu dianggarkan melebihi USD60 juta, bersamaan kira-kira RM240 juta.
Mengulas lanjut, Ricky berkata resort berkenaan akan menawarkan dua jenis vila iaitu standard dan premium, dengan setiap unit dilengkapi kolam renang peribadi bagi memastikan tahap privasi dan keselesaan tertinggi kepada pengunjung.
Setiap unit vila akan ditawarkan kepada pelabur di bawah konsep beli-untuk-pajak balik (buy-to-leaseback), membolehkan pelabur membeli unit dan memajak semula kepada syarikat pengendali bagi memperoleh pulangan terjamin.
“Selain pulangan tetap, pembeli juga akan menikmati perkongsian keuntungan daripada keseluruhan hasil operasi resort,” katanya.
Ricky menegaskan visinya adalah untuk membangunkan sebuah resort ikonik bertaraf antarabangsa yang menggabungkan keanggunan reka bentuk, kepraktisan pelaburan dan nilai pelancongan jangka panjang.
“Kami mahu menjadikan projek ini bukan sahaja sebuah destinasi percutian eksklusif, tetapi juga mercu tanda terbaharu yang mampu mengangkat lagi imej Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.— Mynewshub


