KUALA LUMPUR, 12 Dis — Pusat beli-belah The Exchange TRX sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas berlaku insiden kebocoran bumbung ketika hujan lebat melanda ibu negara petang tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu tular di media sosial apabila video menunjukkan air melimpah keluar dari bahagian siling, khususnya di aras dua berhampiran sebuah kedai buku popular.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan beberapa pekerja premis bergegas mengalihkan barangan selain cuba mengawal aliran air daripada terus membasahi lantai.
Insiden baharu ini mengundang pelbagai reaksi kerana ia berlaku kurang sebulan selepas kebocoran terdahulu pada 28 November lalu.
Dalam insiden sebelum ini, pihak pengurusan memaklumkan kerosakan berpunca daripada masalah paip dan berjaya dibaiki dalam tempoh singkat.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan The Exchange TRX berhubung punca kebocoran terbaharu, namun pasukan penyelenggaraan dilaporkan telah mengambil tindakan segera bagi membersihkan kawasan terjejas dan memastikan keselamatan pengunjung.
Rata-rata pengguna media sosial sekali lagi mempersoalkan tahap kualiti pembinaan serta penyelenggaraan kompleks beli-belah yang menjadi mercu tanda baharu di pusat bandar Kuala Lumpur itu.- MYNEWSHUB
