KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah treler muatan besi dan pacuan empat roda di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Gebeng, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 4.15 pagi, pemandu pacuan empat roda terbabit ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Sebahagian treler berkenaan turut terbakar akibat rempuhan kuat itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati bahagian hadapan treler sedang terbakar. Anggota bertindak memadamkan kebakaran sebelum menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Pemandu treler dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Menurut Zulfadli, maklumat awal mendapati treler itu dalam perjalanan dari arah Gebeng ke Kuantan ketika kemalangan berlaku. Identiti pemandu pacuan empat roda masih belum dikenal pasti.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian.


