PULAU PINANG – Detik cemas tercetus di Jambatan Pulau Pinang malam ini apabila seorang lelaki bersenjatakan objek tajam dilaporkan bertindak agresif sebelum terjun ke laut dalam satu insiden mencemaskan berhampiran Kilometer 4.0 arah Perai.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 8.22 malam mengenai seorang individu dalam keadaan mengamuk serta dipercayai mengancam untuk mencederakan diri sendiri.
Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai pada jam 8.32 malam, lelaki berkenaan didapati sudah terjun dari jambatan.
Lebih membimbangkan, individu terbabit tidak meninggalkan sebarang dokumen pengenalan diri, menjadikan usaha mengenal pasti mangsa semakin rumit.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang berlangsung dengan bantuan Bot Polis Marin, yang sedang melakukan pencarian di perairan berhampiran dalam keadaan gelap dan berarus kuat.
Setakat ini, identiti dan keadaan lelaki tersebut masih belum diketahui, sementara pihak berkuasa meneruskan usaha pencarian dan penyiasatan.
Sumber: JBPM Pulau Pinang


