KOTA KINABALU: Kakitangan SMKA Tun Datu Mustapha (TDM) berasa takut untuk ke tempat awam susulan insiden membabitkan Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.
Bekas penolong kanan hal ehwal murid sekolah itu, Asnie Marjan, memberitahu bahawa guru dan kakitangan telah diserang netizen di media sosial.
“Ya, netizen membuat tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas terhadap guru. Ramai guru memadamkan akaun Facebook mereka. Ada yang takut pergi ke pusat beli-belah, kedai dan pasar,” katanya ketika memberi keterangan di mahkamah koroner bagi prosiding inkues kematian Zara.
Saksi ke-57 itu disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara.
Terdahulu, Shahlan bertanyakan mengenai serangan media sosial yang ditujukan kepada warga sekolah selepas Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Asnie yang kini bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Papar, berkata pihak sekolah telah melakukan yang terbaik.
Sebagai guru paling senior di SMKA Tun Datu Mustapha, beliau memilih untuk memberikan semangat kepada rakan-rakannya selepas insiden itu, dan bukannya menunjukkan kesedihan di hadapan mereka.
Apabila ditanya Shahlan sama ada kecaman media sosial terhadap warga sekolah mempunyai persamaan dengan cara pelajar senior memperlakukan Zara pada malam 15 Julai, Asnie berkata, beliau tidak pasti dan tidak dapat mengulas.
Peguam itu turut menyoal mengenai tiga insiden — sentuhan fizikal pada Mac, insiden membabitkan Zara pada Julai dan satu lagi kes sentuhan fizikal pada September.
Asnie menjawab: “Seperti yang saya jelaskan semalam, tuan – pendidikan tidak hanya berlaku di sekolah tetapi juga di rumah. Kami melaksanakan program disiplin yang pada pandangan saya agak baik.”
Menjawab soalan sama ada program di TDM berkesan mencegah kejadian seumpamanya berulang, beliau berkata: “Ya, program yang dirancang di SMKA TDM adalah berkesan, tetapi ada kes terpencil.
“Kami masih ada 500 pelajar yang menunjukkan prestasi baik. Sepanjang saya berkhidmat di sana, kami ada sekitar 600 pelajar, dan program tersebut memberikan kesan. Tetapi adalah mustahil untuk menghasilkan pelajar yang 100 peratus sempurna.”
Inkues bersambung pada jam 2 petang.
BHonline-


