SHAH ALAM: Seramai 24 warga asing dipercayai terbabit sindiket penipuan secara dalam talian dengan bekerja di pusat panggilan, ditahan menerusi serbuan berasingan di Sunsuria City, Sepang, pada 26 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata semua tangkapan membabitkan warga China berusia 21 hingga 37 tahun itu adalah daripada dua sindiket berlainan dan tidak mempunyai kaitan.
Katanya, kedua-dua sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober lalu dan menyasarkan mangsa warga China.
“Tangkapan pertama dijalankan pada jam 1 tengah hari membabitkan 14 individu termasuk empat wanita dan polis turut merampas 11 unit telefon bimbit, tiga set komputer serta satu unit router dianggarkan bernilai RM20,000.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak Oktober lalu dengan menjalankan penipuan cabutan bertuah secara dalam talian.
“Sindiket ini menggunakan aplikasi QQ (Jin Chan) sebagai platform e-iklan bagi mendorong mangsa melakukan pembelian nombor bertuah yang menjanjikan hadiah wang tunai sedangkan hadiah itu tidak wujud,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Shazeli berkata, kes kedua membabitkan tangkapan tujuh lelaki dan tiga wanita sekitar jam 5 petang dan polis merampas 16 unit telefon bimbit, tujuh set komputer riba, tiga set komputer serta dua unit router dianggarkan bernilai RM40,000.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak Oktober lalu dengan menjalankan penipuan pertukaran mata wang asing (forex) secara dalam talian.
“Pada peringkat awal, sindiket ini akan mencari mangsa melalui aplikasi ‘Tonghuasun’ seterusnya akan menggunakan aplikasi Telegram bagi menjalankan urus niaga forex milik mangsa.
“Sindiket akan melakukan penipuan selepas mangsa menyerahkan wang modal mereka bagi menyertai pelaburan forex yang ditawarkan dengan dijanjikan pulangan keuntungan tinggi sedangkan pelaburan itu tidak wujud,” katanya.
Shazeli berkata, siasatan turut mendapati semua tangkapan memasuki negara ini antara Julai hingga Oktober lalu melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pas pekerja.
“Semakan juga sedang dilakukan dengan pihak Jabatan Imigresen bagi mengesahkan ketulenan pas itu.
“Semakan rekod jenayah juga mendapati semua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod dan bebas ujian saringan air kencing yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, semua tangkapan direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
BHonline-


