BUKIT MERTAJAM – Seramai 11 warga asing ditahan dalam serbuan sebuah kilang yang menjalankan aktiviti melerai buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di Machang Bubok di sini pada jam 7.30 malam, Khamis.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan oleh Cawangan Risik Batalion 1 bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang itu melibatkan rampasan e-waste serta mesin pemprosesan bernilai RM21.83 juta.
Menurutnya, serbuan itu dibuat selepas risikan menggunakan teknologi dron selama dua minggu di premis yang terletak di dalam kebun kelapa sawit dan di tepi jalan utama.
“Selepas risikan dijalankan, kita bersama JAS Pulau Pinang menyerbu kilang haram tersebut dan menahan 11 warga asing termasuk wanita China yang juga pengurus serta wakil pemilik kilang.
“Tangkapan juga melibatkan seorang lelaki Bangladesh, tiga lelaki Myanmar dan enam wanita Myanmar. Kesemua mereka berusia lingkungan 30-an hingga 40-an,” katanya ketika ditemui di kilang tersebut di sini pada Jumaat.
Shahrum berkata, kesemua buangan e-waste itu diimport dari beberapa negara luar dan diproses di kilang berkenaan sebelum dihantar ke pihak lain untuk proses seterusnya.
“Siasatan mendapati, kilang ini mula beroperasi sejak 2016 untuk memproses barang kitar semula plastik secara sah sehingga 2022. Pemilik kilang merupakan orang tempatan dan disewakan kepada seorang lagi warga tempatan.
“Kemungkinan dia telah menyewakan premis ini kepada warga China untuk menjalankan operasi haram ini sejak 2023.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui lebih 48 beg bersaiz jumbo yang mengandungi barangan buangan e-waste termasuk tembaga. Kita juga mendapati, kilang ini baru membeli beberapa buah mesin memproses sisa e-waste sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, sisa e-waste yang dibiarkan bertabur amat membahayakan terutama ketika hujan kerana air akan mengalir ke kawasan sekitar yang mana ia boleh menjejaskan kualiti air serta persekitaran kawasan kilang berkenaan.
Justeru beliau berkata, kilang tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-undang Kecil Pelesenan Premis, Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
“Antara kesalahan lain yang dikenal pasti adalah di bawah Akta Imigresen kerana kesemua pekerja yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah kecuali wanita warga China, namun pasportnya telah tamat tempoh,” jelasnya.
Katanya lagi, kesemua warga asing tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Mereka ini dibayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan mengikut jumlah kerja yang dibuat. Pengurus wanita warga China itu masuk ke negara ini sebagai pelancong dan dipercayai mula bekerja di sini sejak Januari tahun lalu.
“Sementara yang lain, masih dalam semakan kerana mereka tiada dokumen,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata, pihaknya telah menjalankan persampelan rasmi buangan yang disyaki dikategorikan sebagai buangan terjadual SW110-E-Waste dan SW104 iaitu debu atau dross yang mengandungi logam berat.
Menurutnya, sampel rasmi akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan.
“JAS Pulau Pinang telah menjalankan sitaan 48 beg jumbo yang mengandungi e-waste serta dross di bawah Seksyen 46B(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Barang kes yang disita akan dihantar ke stor ekshibit di Gopeng, Perak sehingga kes selesai. Setakat ini, ini adalah rampasan terbesar di Pulau Pinang,” katanya.
SinarHarian-