KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan dibuat Lawyers for Liberty (LFL) berhubung notis dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan membabitkan ahli perniagaan, Albert Tei.
SPRM berkata, notis terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir dan mengemukakan dokumen atau rakaman diperlukan bagi membantu siasatan.
Katanya, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang.
“Memandangkan peguam mewakili suspek mempunyai bahan bukti (exhibits) berkaitan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki mengikut Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.
“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, LFL mendakwa SPRM bertindak di luar undang-undang apabila memanggil peguam kepada pemberi maklumat, Albert Tei, untuk disoal siasat berhubung siasatan skandal membabitkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata peguam Mahajoth Singh menerima notis pada kira-kira jam 9.50 malam semalam yang mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi keterangan dalam siasatan membabitkan kliennya sendiri.
SPRM berkata, keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun ia tidak mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat, melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang atau menghalang siasatan jika peguam terbabit adalah saksi material.
“Oleh itu, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas. Notis terbabit adalah proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.
“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard.
“Selain itu, sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan adalah tertakluk kepada Seksyen 28(A)8 Kanun Tatacara Jenayah dan keperluan operasi bagi melindungi integriti siasatan. Ini selaras dengan undang-undang dan tidak luar biasa dalam kes yang sensitif,” katanya.
Katanya, memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam.
“SPRM akan terus melaksanakan peranan dan tugasnya secara berkecuali, profesional dan dalam ruang lingkup undang-undang sepenuhnya,” katanya.
BHonline-


