KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan warga SPRM mesti terus menjunjung integriti yang tinggi dalam setiap tindakan mereka.
Menurut beliau, tugas warga SPRM adalah satu amanah dan rakyat menaruh harapan agar SPRM melaksanakannya dengan penuh kejujuran, keberanian dan profesionalisme.
“Kita juga harus bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kritikan, persepsi negatif, malah fitnah. Akan sentiasa ada pihak yang tidak selesa dengan ketegasan kita dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Tidak kurang juga yang sanggup menyebarkan naratif palsu dan tidak berasas, walaupun mereka mengetahui hakikat yang sebenar. Namun, kita tidak boleh dan tidak akan terpesong daripada tanggungjawab kita,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di laman media sosial SPRM.
Terdahulu, Azam berkata, Hari Raya Aidilfitri telah berlalu dan kini tiba masa untuk warga SPRM kembali sepenuhnya kepada tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
Ujar beliau, Ramadan yang baru dilalui bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu proses membina disiplin, menguatkan kawalan diri, meneguhkan integriti serta memperhalusi nilai-nilai murni.
“Inilah ukuran sebenar kejayaan kita. Justeru, marilah kita terus membawa semangat dan pengajaran Ramadan ke dalam setiap tindakan dan pelaksanaan tugas harian kita,” katanya.
Tambah beliau, kini juga adalah waktu untuk SPRM bangkit dengan semangat baharu, tenaga yang segar dan fokus yang diperbaharui.
“Kita perlu terus mengamalkan gaya hidup yang sihat, berdisiplin dalam setiap aspek, serta menjauhi sikap berlebihan sama ada dalam pemakanan, keselesaan, mahupun rasa leka. Amanah yang dipikul oleh kita jauh lebih besar daripada keseronokan sementara.
“Kita perlu teguh dalam prinsip. Kekal fokus kepada misi. Biarkan kerja kita, integriti dan hasil pencapaian kita berbicara lebih kuat daripada sebarang tuduhan.
“Teruskan berkhidmat dengan penuh keikhlasan, disiplin yang tinggi, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Integriti adalah asas kita. Disiplin kekuatan kita. Berkhidmat kepada rakyat amanah kita,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial SPRM


