KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha kedua-dua negara melaksanakan gencatan senjata ke arah langkah perdamaian.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan protes yang diadakan rakyat Thailand, yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam konflik itu, baru-baru ini dianjurkan parti pembangkang sebagai modal untuk mereka berdepan pilihan raya di negara itu tidak lama lagi.
“Untuk mengatakan Malaysia, khususnya Perdana Menteri campur tangan itu adalah satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan.
“Sejak dulu lagi, kita menjunjung semangat ASEAN, iaitu tidak ada campur tangan dalam hal ehwal negara ahli dalam ASEAN.
“Protes itu dijadikan modal oleh parti pembangkang yang kecil jumlahnya. Jadi jangan pula kita di Malaysia terikut-ikut, kurang orang, kita pula yang lebih mengatakan Perdana Menteri kita campur tangan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai pendirian Malaysia susulan protes di Bangkok berkaitan dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasinya terhadap imej Malaysia.
-Berita Harian


