YAN: Polis menahan pemandu kereta berusia 33 tahun yang dipercayai merempuh dua kanak-kanak lelaki yang menaiki basikal di Jalan Sedaka Tengah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah, berkata ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu kereta didapati negatif dadah.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan ketika ini.
“Dua kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Hamizi berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu melalui orang awam pada jam 9.25 pagi tadi.
Media sebelum ini melaporkan, dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun maut selepas basikal yang mereka naik dirempuh sebuah kereta di Jalan Sedaka Tengah, di sini hari ini.
BHonline-

