KULIM: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang lemas di lombong pasir Kampung Badlishah, di sini semalam cuba dibantu rakannya ketika tenggelam tetapi gagal.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata berdasarkan keterangan remaja lelaki berusia 13 tahun, ketika sedang mandi di situ, mangsa tiba-tiba pergi ke kawasan yang dalam sebelum tenggelam.
Dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung berada di kawasan itu dan memaklumkan apa yang berlaku.
“Anggota polis menerima maklumat kejadian jam 1.30 tengah hari semalam memaklumkan kanak-kanak lemas di lokasi.
“Tempat kejadian adalah kawasan lombong pasir yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumah kanak-kanak itu dan sedalam hampir dua meter,” katanya dihubungi hari ini.
Zulkifli berkata, sebaik sampai di lokasi, bapa mangsa bersama penduduk kampung berusaha mencari kanak-kanak itu dan menemuinya kira-kira 30 minit kemudian di dasar lombong.
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
BHonline-


