PUTRAJAYA – Punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak Mei lalu adalah disebabkan lori ‘tipper’ yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus atau 40,960kg daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.
Dapatan itu diperoleh hasil Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden berkenaan yang membabitkan lori muatan batu kerikil dan lori FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Laporan yang dimuatnaik menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT) itu mendedahkan lebihan bebanan berkenaan telah meningkatkan tenaga kinetik, menjejaskan keupayaan membrek dan kestabilan serta menjadi faktor utama kehilangan kawalan.
“Keadaan ini menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh,” kata MOT dalam kenyataan pada Jumaat.
-Sinar Harian


