Kuala Lumpur: Beberapa stesen Rapid KL ditutup sementara hari ini antara jam 4 hingga 6 petang atas faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali rel Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu membabitkan beberapa stesen di tiga laluan utama iaitu Laluan Kelana Jaya, Putrajaya dan Kajang.
“Bagi laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Ampang Park dan KLCC manakala laluan Putrajaya, stesen terlibat ialah Conlay, Persiaran KLCC dan Ampang Park.
“Bagi laluan Kajang, penutupan membabitkan stesen Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, antara stesen alternatif yang disarankan ialah laluan monorel Stesen Bukit Nanas, Stesen Raja Chulan dan Stesen Bukit Bintang manakala bagi laluan Kelana Jaya boleh mengikuti Stesen Kampung Baru melalui Jambatan Saloma.
Dalam pada itu, Rapid KL memaklumkan bahawa stesen-stesen rel lain yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian.
“Pengguna juga disarankan merancang perjalanan lebih awal dan merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi PULSE untuk status perkhidmatan terkini,” katanya.
-Harian Metro

