TUMPAT: “Saya terdengar suara mengerang kesakitan dari luar rumah sebelum keluar dan sangat terkejut melihat anak dalam keadaan berlumuran darah,” kata ibu kepada lelaki ditetak hingga maut, Wan Salma Wan Said.
Wan Salma, 68, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi ketika beliau mahu bersiap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan tragedi menyayat hati terbabit.
Beliau berkata, sebelum itu, mangsa, Mohd Suhairi Hashim, 46, sedang membersihkan jengkaut di luar rumah bersendirian sebelum didatangi suspek yang juga anak saudaranya.
“Dia (suspek) turut berada tidak jauh dari Hairi (mangsa) yang sudah terbaring berlumuran darah dan memberitahu dia menetaknya kerana marah disebabkan menular perkara perihal anaknya.
“Dia (suspek) kemudiannya mengambil parang panjang di tanah dan terus pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Wan Salma berkata, dia terus memberitahu anaknya yang lain sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Katanya lagi, petang semalam anaknya melakukan kerja mengorek lubang berdekatan rumah tetapi kerja itu belum siap lagi dan dijangka akan teruskan hari ini.
“Sehari sebelum kejadian saya lihat anak saya sudah menunjukkan perubahan sikap apabila kurang bercakap dan tidak sangka ia seakan petunjuk,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, mangsa parah di bahagian muka apabila ditetak bertubi-tubi dan lengan kirinya turut putus.
Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
BHonline-


