KUALA LUMPUR – PAS memberi peringatan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bukan milik DAP manakala kerajaan Selangor bukan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Ketua Penerang PAS Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sebaliknya berkata, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor adalah milik bersama PAS selepas pilihan raya umum ke-13.
“Kerajaan negeri itu (Pulau Pinang) terbentuk atas usaha gigih bersama. Kerana itu PAS berhak kepada faedah dari penubuhannya. Seperti juga di Selangor, kerajaannya hasil usaha bersama.
“Kerana itu PAS berhak keatasnya (kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor). PKR misalnya tak boleh memandai-mandai dalam urusan perlantikan Menteri Besar Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Ahmad Amzad memberi peringatan DAP jangan mengancam ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.
“Kerajaan Pulau Pinang bukan harta pusaka warisan keturunan yang boleh sesuka hati. Ahli PAS menerima jawatan secara bermaruah. (Kerajaan Pulau Pinang) Bukan hak mutlak DAP,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membubarkan kerajaan negeri dan mengadakan semula pilihan raya kerana beliau percaya DAP akan tewas kepada PAS.
“Bubarkan DUN Pulau Pinang sekarang dan tengok jawatan mana yang DAP boleh pegang dalam kerajaan baharu,” katanya.- Mynewshub.cc

