SIPITANG: Kejadian seorang murid perempuan cedera di kepala yang tular di media sosial sejak pagi tadi bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain bersama rakan di sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab, berkata siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera ketika bermain bersama rakan, dan bukannya dipukul seperti yang didakwa.
Menurutnya, pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu dan telah bertindak segera membawa murid terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Gambar yang tular di media sosial sebenarnya diambil semasa murid berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ibu bapa murid yang terbabit dimaklumkan mengenai kejadian itu, dan pihak sekolah turut memberikan jaminan akan terus menitikberatkan aspek keselamatan serta kebajikan semua murid.
“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Terdahulu, gambar seorang murid perempuan berpakaian seragam sekolah dengan kesan darah di kepala tular di media sosial dan mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna internet.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
BHonline-


