KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa supaya hasil tambahan daripada duti eksais ke atas rokok serta minuman keras, disalurkan terus kepada program pencegahan, inisiatif henti merokok dan pendidikan awam berkait kesihatan.
Ia selaras kenaikan kadar duti eksais bagi produk rokok berkuat kuasa 1 November 2025, termasuk peningkatan dua sen per batang rokok, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan belanjawan itu berkata kerajaan bersetuju supaya kadar duti eksais untuk produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025.
Presiden MyWATCH, Roslizawati Md Ali, berkata pendekatan mencegah adalah penting bagi meringankan beban kesihatan dan sosioekonomi.
“MyWATCH mencadangkan hasil tambahan daripada cukai rokok dan alkohol disalurkan terus kepada program pencegahan, henti merokok serta pendidikan awam dan bukan saja tertumpu kepada rawatan.
“Ia sejajar pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ demi mengurangkan beban kesihatan dan sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Roslizawati berkata, MyWATCH turut menggesa kerajaan agar segera mengenakan duti eksais tembakau yang lebih tinggi dan larangan sepenuhnya ke atas semua produk vape, selain meletakkan semula produk mengandungi nikotin bawah Akta Racun serta kawalan Kementerian Kesihatan (KKM).
Meskipun menyambut baik keputusan kerajaan dalam Belanjawan 2026 untuk menaikkan duti eksais, beliau mengaku MyWATCH kecewa berikutan kadarnya hanya dua sen setiap batang yang diibarat ‘melepaskan batuk di tangga’, sekali gus menegaskan Malaysia mesti berani bertindak untuk melindungi generasi muda daripada bahaya nikotin.
Katanya, cukai rokok tidak pernah dinaikkan sejak 2015 walaupun kadar inflasi dan kos rawatan penyakit berkaitan tembakau semakin meningkat.
Beliau berkata, kadar kenaikan sebanyak dua sen itu – daripada 40 sen kepada 42 sen per batang – disifatkan sebagai terlalu kecil serta tidak akan memberi kesan ketara terhadap tabiat merokok, terutama dalam kalangan remaja, dan beban perubatan yang ditanggung kerajaan.
“Dalam advokasi terdahulu, MyWATCH telah menggesa cukai dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 75 sen setiap batang dengan mengambil iktibar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menghormati perjanjian Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) yang dimeterai sejak 2005, bagi memastikan pengurangan permintaan yang bermakna.
“Selepas hampir sedekad tanpa kenaikan cukai itu, langkah menaikkan sebanyak dua sen adalah terlalu kecil dan tidak akan mengubah tingkah laku pengguna.
“Dasar cukai tembakau seharusnya melindungi kesihatan rakyat dan bukan keuntungan industri,” katanya.
Malah, Roslizawati berkata, MyWATCH kesal kerana tiada sebarang cukai atau peraturan dikenakan ke atas produk vape serta rokok elektronik (e-rokok) dalam Belanjawan 2026.
“Ketiadaan kawalan ini menyebabkan pasaran vape terus berkembang tanpa sekatan, dengan produk berperisa dan bergula terus menarik minat kanak-kanak serta remaja.
“Ia dilihat seolah-olah pengiktirafan ke atas produk-produk amalan merokok seperti vape serta e-rokok dan gejala budaya kurang sihat,” katanya.
-Berita Harian


