TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan penyeludupan rokok putih dianggar bernilai RM2.3 juta termasuk cukai menggunakan sebuah lori tiga tan di Chabang Empat, di sini, awal pagi semalam.
Terdahulu, lori berkenaan dikesan mencurigakan ketika menghala Kampung Ana, di sini kira-kira jam 4 pagi, sebelum anggota PPM menghubungi pasukan serbuan sambil mengekori dan memintasnya untuk tujuan pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata lori itu meskipun selepas memperkenalkan diri ketika mengarahkan lori itu berhenti, namun pemandunya tidak mengendahkan arahan sebaliknya terus memecut.
“Bantuan daripada Pusat Kawalan Tumpat diminta untuk mendapatkan kereta peronda bagi menghentikan lori yang dipercayai turut diiringi dua kereta dipandu tonto.
“Kedua-dua kenderaan dinaiki tonto bertindak agresif dan cuba melanggar anggota kami yang menaiki kereta, serta motosikal sehingga hampir terbabas,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Zulafendy berkata, anggotanya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori serta dua kereta dinaiki tonto, namun semua kenderaan terus dipandu secara berbahaya.
“Kami mengejar mereka kira-kira setengah jam sehingga memasuki daerah Pasir Mas apabila secara tiba-tiba pemandu lori melompat keluar, menyebabkan kenderaan itu terbabas sehingga melanggar tiang di Kampung Gelang Mas.
“Pemeriksaan mendapati tiga tayar lori terbabit pecah disyaki melanggar batu tajam semasa melarikan diri dan kami menemukan 114 kotak mengandungi 5,700 karton bersamaan 1,140,000 batang rokok putih di belakang lori dipercayai baru diseludup masuk dari negara jiran.
“Semua rampasan dibawa balik ke Markas Operasi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) ,” katanya.
BHonline-


