KUALA LUMPUR: UMNO melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili parti itu untuk berunding dengan pihak kerajaan bagi merombak dan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan membawa pendirian UMNO dalam isu itu bagi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terpelihara.
Asyraf berkata, UMNO amat prihatin terhadap keresahan rakyat berkaitan RUU PSB, justeru Konvensyen PSB diadakan pada hari ini, yang menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU PSB sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan pada sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Mesyuarat selama dua setengah jam itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada sidang media selepas Konvensyen PSB pagi tadi, Johari yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO bagi Penambahbaikan RUU PSB, memaklumkan UMNO akan meminta RUU PSB yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.
Johari berkata, ia bagi membolehkan RUU itu ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif, selain mengambil kira pandangan dan kritikan pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, Asyraf berkata, UMNO akan memastikan kerajaan melakukan segala usaha bagi menjamin keselamatan dan pembebasan segera tanpa syarat semua sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan secara tidak sah oleh rejim pengganas Zionis Israel.
“UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus konsisten dan tegas membawa suara Malaysia untuk dunia mengiktiraf Negara Palestin dan mendesak rejim Zionis menghentikan kezalimannya dalam operasi penghapusan etnik yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.
-Berita Harian


