KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan tiga individu berhubung kes kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata ibu mangsa masih belum diambil keterangan kerana berada di Perak bagi menguruskan pengebumian anaknya.
“Tiga individu sudah dirakam keterangan iaitu ibu dan bapa saudara mangsa serta rakan ibu mangsa yang tinggal bersama kanak-kanak itu di unit kediaman berkenaan.
“Selain itu, tiga jiran yang terdengar bunyi bising dan bunyi terjatuh akan dipanggil untuk diambil percakapan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, polis sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum kertas siasatan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Pegawai penyiasat kes masih dalam tindakan melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dimajukan ke TPR setelah semua keterangan dan tindakan selesai diambil,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri berkenaan dalam kejadian pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, dilaporkan berkata kejadian dilaporkan pada jam 4.42 petang selepas mangsa ditemui orang awam di laluan pejalan kaki.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Berikutan itu, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
BHonline-

