KUALA LUMPUR: Polis menawarkan potongan saman sebanyak 50 peratus sempena program Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Sabtu ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, orang ramai yang memiliki saman boleh membuat bayaran di kaunter bergerak yang ditempatkan di lokasi program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
Katanya, potongan diskaun hanya membabitkan kompaun semua jenis kesalahan trafik kecuali 10 kategori saman yang berkaitan kemalangan; saman tidak boleh dikompaun (N/C); saman Op Selamat; kes dalam perbicaraan mahkamah dan kesalahan berkaitan kenderaan berat.
“Lain-lain saman tidak dapat diskaun adalah kes kesalahan potong secara bahaya (potong Q), menggunakan lorong kecemasan; tidak mematuhi isyarat lampu merah; pengubahsuaian ekzos kenderaan dan saman memotong di garisan berkembar,” katanya ketika dihubungi.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai yang memiliki saman selain daripada 10 kategori yang tidak dibenarkan itu boleh membuat bayaran pada hari berkenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025, sekali gus mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran.
BHonline-


