JOHOR BAHRU: Tindakan lelaki bekas guru yang menjadikan aktiviti mengumpul sampah di dalam kediamannya di Taman Sentosa di sini sejak 30 tahun lalu sebagai ‘hobi’, akhirnya berjaya diselesaikan.
Hobi peliknya itu bukan sahaja mengakibatkan taman perumahan itu berbau busuk dan mengundang kegusaran jiran sekeliling.
Situasi sampah dalam dan luar rumah warga emas itu sangat teruk dan menjijikkan dengan kehadiran haiwan perosak dan berbisa seperti tikus, lipas dan ular.
Ahli Majlis MBJB kawasan Taman Sentosa / Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata situasi ‘rumah sampah’ ini telah berlarutan sehingga 30 tahun.
Katanya, malah proses pembersihan yang dijalankan sejak Ahad lalu oleh 35 sukarelawan juga menemui busut anai-anai di dalam rumahnya.
“Proses pembersihan ini tidak mudah, sebanyak 32 tan metrik sampah sarap berjaya dikeluarkan dari kediaman itu dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), SWM dan pihak polis.
“Aktiviti mengumpul sampah sebagai hobi oleh pak cik ini sehingga rumah dua tingkat miliknya tidak lagi boleh didiami. Saya difahamkan oleh jiran-jiran, pak cik ini tidur di lorong belakang rumahnya pada waktu malam kerana rumahnya tidak boleh masuk kerana terlalu banyak sampah.
“Longgokan sampah bukan sekadar dalam rumah, malah turut memenuhi ruang garaj, dan melimpah ke kawasan hadapan hingga menenggelamkan kereta miliknya yang di parkir di dalam garaj.
“Bukan selama tempoh 30 tahun tiada aduan, kami terima aduan tetapi proses pembersihan tidak dapat berjalan sepenuhnya kerana tidak mendapat kerjasama daripada pemilik. MBJB hanya membersihkan kawasan garaj sahaja, dan dua hari kemudian kawasan kembali penuh,” katanya.
Antara sampah yang dibawa pulang ke rumah termasuk peralatan elektrik rosak, periuk nasi, dapur lama, termos, kerusi kayu, sofa lusuh, cawan pecah, pakaian lama, beg, kasut, serta botol dan tin minuman berkarat.
Menurut Sally Ng, pihaknya berusaha memujuk lelaki itu membersihkan rumah sejak dua tahun lalu, namun menemui jalan buntu.
Katanya pihak MBJB terpaksa menggunakan kekerasan dan memberi notis pengosongan dua minggu kepada pemilik untuk keluar sementara dan membenarkan proses pembersihan berjalan dalam dan luar rumah.
“Pak cik ini mendakwa semua barangan yang dikumpul itu boleh dijual, namun tidak berupaya mengasingkan sampah kerana faktor usia.
“Pak cik itu pada awalnya enggan membenarkan pembersihan dilakukan di dalam rumah dan hanya membenarkan di bahagian garaj sahaja. Pak cik itu juga memarahi sukarelawan kami yang bekerja.
“Dia berkeras kononnya barang yang dikumpul itu bernilai RM8,000, terutama tin dan besi. Tapi bila kita tengok, semua sudah karat, rosak dan reput serta tidak bernilai.
“Demi untuk memuaskan hatinya, kami sukarelawan mengasingkan barangan kitar semula yang elok untuk dijual, dan hasilnya tidak sampai RM1,000. Kami cukupkan nilai RM1,000 untuk diberi kepada pak cik ini, dia ambil kemudian mendakwa sampah itu lebih bernilai tinggi,” katanya.
Bercerita lanjut, Sally Ng berkata hasil temubual dengan jiran, mereka mendakwa pak cik ini mempunyai seorang isterinya yang berasal dari Taiwan dikatakan sudah lama pulang ke negara asal.
Manakala tiga anak lelakinya yang tinggal di Singapura juga dipercayai tidak mengendahkannya, dipercayai akibat sikap marah dan hobi peliknya itu.
“Kami akan terus berusaha memujuk lelaki itu supaya mendapatkan bantuan psikologi. Sebelum ini pak cik itu menolak untuk di tempatkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekiranya pak cik ini tinggal berseorangan lagi, masalah ‘rumah sampah’ akan terus berulang,” katanya.
-Berita Harian


