KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan salah laku ‘counter setting’.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan, wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan nombor pasport turut ditemui dalam simpanan pegawai lelaki itu ketika ditahan.
“Penahanan dibuat kira-kira jam 9.20 pagi selepas Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pemeriksaan masuk.
“Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemui itu mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pegawai berkenaan pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.
Katanya, AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti, terutama membabitkan keselamatan pintu masuk negara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terbabit.
BHonline-


